Saturday 20 June 2015

Kilang asam jawa kotor, tiada sijil halal disita



PARIT BUNTAR – Sebuah kilang memproses asam jawa dan tepung jagung berdepan risiko didenda selepas premis berkenaan menggunakan logo halal tanpa sijil yang sah daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) atau Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk).
Dalam pemeriksaan yang diadakan kelmarin oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) cawangan Parit Buntar bersama Jabatan Kesihatan daerah Kerian kelmarin, premis berkenaan juga didapati kotor dan diarahkan tutup selama 14 hari untuk melakukan kerja-kerja pembersihan.
Ketua cawangan KPDNKK Parit Buntar, Md. Nasir Mohamad berkata, pihaknya telah menyita produk terbabit termasuk 22 guni pembungkus bernilai kira-kira RM14,000.
“Kilang berkenaan sudah beroperasi lebih daripada 20 tahun. Mereka mungkin tidak kemas kini maklumat peraturan baharu di bawah Akta Perihal Dagangan 2011,” katanya ketika dihubungi semalam.
Pemeriksaan selama 4 jam bermula pukul 11.30 pagi itu dilakukan selepas KPDNKK menerima aduan daripada orang awam yang ragu-ragu terhadap produk makanan tersebut yang didakwa kotor.
Tambah Md. Nasir, kes disiasat mengikut Akta Perihal Dagangan­ 2011 dan jika sabit kesalahan syarikat terbabit boleh dikenakan denda maksimum sehingga RM500,000.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0620&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_09.htm#ixzz3dbDdwbHW 
Hakcipta terpelihara