Wednesday, 24 August 2016
Makanan halal: Korea Selatan kerjasama Jakim
KUALA LUMPUR - Korea Selatan berhasrat menjalin kerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk mengeluarkan lebih banyak produk makanan halal negara itu bagi pasaran lebih luas di negara Islam.
Duta Korea Selatan di Malaysia, Cho Byungjae berkata, sebagai hab global industri makanan halal, Malaysia merupakan platform terbaik menerajui visi negara itu untuk memperluas pasaran makanan halalnya.
Beliau berkata, Korea Selatan menjangkakan pertumbuhan pesat dalam industri makanan halal memandangkan pasaran halal global berada pada US$1.088 trilion pada 2012, dan ia dijangka meningkat lagi pada masa depan.
"Kami yakin Korea dan Malaysia boleh melaksanakan perkongsian yang sangat baik dalam bidang ini (industri halal). Keupayaan teknologi pembuatan Korea dan kemajuan Malaysia dalam sektor ini, jika kita boleh menggabungkan dua faktor ini, saya rasa kita mempunyai potensi yang besar untuk pengembangan pada masa depan.
"Kami berusaha untuk menceburi pasaran halal dan pasaran Malaysia adalah sangat penting untuk produk pertanian dan makanan kami...kami mahu menembusi negara di Asia Barat," katanya kepada Bernama selepas pelancaran Pameran K-Food 2015 di sini, hari ini.
Cho berkata, eksport produk makanan Korea Selatan ke Malaysia mencecah US$100 juta tahun lepas.
Pameran K-Food 2015 berlangsung selama tiga hari mulai hari ini di Pusat Pameran Mid Valley merupakan festival makanan Korea yang disediakan khusus untuk pengguna yang memilih makanan halal.
Acara anjuran Perbadanan Makanan dan Perikanan-Agro Korea dan diakui oleh Kementerian Pertanian, Makanan dan Hubungan Luar Bandar Korea itu terdiri daripada lebih 10 pempamer.
Antara makanan yang ditonjolkan adalah Bibimbap (nasi campur), Bulgogi (daging perap dipanggang), Kimchi (sayur jeruk).
Malaysia merupakan negara pertama mempromosi Pameran K-Food, yang kini dikembangkan ke empat negara tahun ini iaitu China, Vietnam, Indonesia dan Emiriyah Arab Bersatu. - Bernama
SINAR HARIAN
Labels:
INFO HALAL
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment