- Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) kesal dengan sikap sebilangan umat Islam di negara ini yang sibuk bermain aplikasi Pokemon Go sehingga tidak langsung ambil peduli mengenai negara Palestin yang dilaporkan ‘tidak ada lagi’ dari peta Google.
Ketua aktivisnya Datuk Nadzim Johan berkata, permainan itu membuatkan orang ramai lalai dengan keadaan sekeliling sehingga mengabaikan perkara yang lebih besar.
“Orang kita sibuk main Pokemon sampai perkara besar seperti itu (Palestin tidak ada lagi di Google Map) tak ambil kisah.
“Cukup-cukuplah main Pokemon, kadang-kadang permainan ini ada agendanya. Kita ini mudah sangat dipengaruhi. Bila kita tengok Palestin tak ada, kita tak ada masalah,” katanya dalam nada kesal.
Beliau berkata demikian pada sidang media di pejabat PPIM di Kuala Lumpur.
Baru-baru ini, warga maya mendakwa nama Palestin hilang dari peta Google dan hanya tertera negara Israel.
Kehilangan tanda sempadan Tebing Barat dan Semenanjung Gaza itu menerima bantahan dari pelbagai pihak dan satu petisyen dibuat oleh individu bernama Zak Martin menerusi change.org dan kini ia mendapat sokongam lebih 242,296 orang dari seluruh dunia.
Sementara itu, Google dalam satu kenyataan berkata label 'Palestine' tidak pernah dimasukkan dalam peta Google.
Bagaimanapun mereka menjumpai ‘bug’ atau masalah yang memadamkan label untuk ‘Tebing Barat’ dan ‘Semenanjung Gaza’.
Google memberi jaminan akan mengembalikan label berkenaan di kawasan itu secepat mungkin.
Mengulas lanjut, Nadzim berkata umat Islam perlu bersatu dalam menangani masalah yang sedang berlaku di antara sesama Islam dan meninggalkan permainan Pokemon Go yang tiada faedah.
“Orang Islam kena sedar dan kita perlu bersatu kerana sekarang ini sukar dan luar biasa keadaan kita pada hari ini.
“Saya rasa kita sebagai pengguna kita kena timbangkan apa yang perlu dan melakukan sesuatu yang lebih berfaedah,” katanya
No comments:
Post a Comment